~ Bahasa Jiwa Bangsa~
Panitia Bahasa Malaysia di sekolah ini berfungsi sebagai penggerak untuk meningkatkan penguasaan dan memahirkan setiap individu di sekolah ini dalam penggunaan Bahasa Malaysia. Oleh yang demikian, dengan adanya laman blog ini, ia menjadi medan untuk semua berkongsi pendapat dan cadangan berkaitan dengan Bahasa Malaysia.
Thursday, 11 August 2011
Wednesday, 10 August 2011
Ramadhan Al-Mubarak 1432
"Apabila kamu berpuasa, maka hendaklah pendengaranmu, penglihatan-mu dan lidahmu turut berpuasa dari segala yang haram. Jauhilah dari suka menyakiti jiranmu, hendaklah kamu bertenang dan beramal dan jangan biarkan hari tidak berpuasa dan hari berpuasa adalah sama.” (riwayat Bukhari).
TATABAHASA - Modul 2
MODUL 2 – KATA GANTI NAMA DIRI SINGKAT
1. Maksud: Kata ganti nama diri yang telah disingkatkan.
2. Contoh:
Kata Ganti Diri Pertama | Penerangan | Ayat Contoh |
kau | Asal daripada kata ‘engkau’. Digunakan pada awal kata yang dirapatkan dengan kata yang menyertainya. | 1. “Surat ini hendaklah kau baca,” pinta Encik Hazim. 2. Lukisan yang kau lukis sangat cantik sekali. |
ku | Asal daripada kata ‘aku’. Digunakan pada awal atau akhir kata yang ditulis rapat. | 1. Kata Dina, “Lagu ini kutujukan untuk Shida yang berada di Johor.” 2. “Aduh, sakitnya kakiku!” kata Dol. |
mu | Asal daripada kata ‘kamu’. Digunakan pada akhir kata sahaja. | 1. Hasratmu akan aku tunaikan. 2. “Adikmu pandai menyanyi,” kata Zuraini kepada Syafiqah. |
nya | Asal daripada kata ganti nama diri ketiga (dia). Digunakan pada akhir kata sahaja. | 1. Kakaknya menuntut di luar negara. 2. Setiap kesalahan akan menerima balasan daripada-Nya. |
3. Bentuk kesilapan
a. Tidak ditulis rapat kata ganti nama diri singkatan dengan kata yang menyertainya.
SALAH | BETUL |
“Warna apa yang kau minati?” tanya Azim kepada Syafiq. | “Warna apa yang kauminati?” tanya Azim kepada Syafiq. |
“Kawan ku ini berasal dari Sabah,” kata Arif kepada Sayuti. | “Kawanku ini berasal dari Sabah,” kata Arif kepada Sayuti. |
b. Tidak boleh menggunakan kata singkatan sebagai subjek ayat.
SALAH | BETUL |
“Mu berdua tidak bekerja hari ini?” tanya Encik Azwan. | “Kamu berdua tidak bekerja hari ini?” tanya Encik Azwan. |
“Kau belum mandi lagi, Man?” tanya ibu kepada Rosman. | “Engkau belum mandi lagi, Man?” tanya ibu kepada Rosman. |
c. Tidak menggunakan tanda sempang dan huruf besar bagi kata singkatan berkaitan dengan Tuhan
SALAH | BETUL |
Ya Allah, aku memohon keampunanmu. | Ya Allah, aku memohon keampunan-Mu. |
Tuhan akan sentiasa mengampunkan dosa hambanya. | Tuhan akan sentiasa mengampunkan dosa hamba-Nya. |
TATABAHASA - Modul 1
MODUL 1 : KATA GANTI NAMA DIRI
1. Maksud
Kata yang digunakan untuk menggantikan nama orang.
2. Jenis:
Terbahagi kepada 3 jenis:
a. Kata Ganti Nama Diri Pertama (penutur).
b. Kata Ganti Nama Diri Kedua (pendengar)
c. Kata Ganti Nama Diri Ketiga (pihak / orang yang diceritakan halnya)
3. Bilangan penutur / pendengar:
a. Tunggal (seorang)
b. Jamak (lebih daripada seorang)
4. Golongan pengguna:
a. Masyarakat Moden
b. Masyarakat Melayu Lama (klasik)
c. Masyarakat Istana / Bangsawan
5. Contoh Kata Ganti Nama Diri
a. Kata Ganti Nama Diri Pertama – menggantikan nama diri orang yang bertutur.
Kata Ganti Diri Pertama | Penggunaannya |
aku (tunggal) | Digunakan apabila bercakap dengan kawan biasa atau dengan Tuhan (keakraban) |
saya (tunggal) | Digunakan apabila bercakap dengan seseorang yang baru dikenali atau dalam suasana rasmi. |
hamba (tunggal) | Digunakan untuk membahasakan diri sendiri pada zaman dahulu. |
patik (tunggal) | Digunakan oleh rakyat apabila bercakap dengan raja atau sultan. |
beta (tunggal) | Digunakan oleh raja atau sultan apabila bertitah kepada rakyat. |
kami (tunggal) | Digunakan pada diri orang yang berkata serta temannya apabila bercakap dengan orang kedua. |
kita (tunggal) | Digunakan pada diri sendiri dengan menyertakan diri orang kedua. |
b. Kata Ganti Nama Diri Kedua – menggantikan nama diri orang yang diajak bertutur.
Kata Ganti Diri Kedua | Penggunaannya |
anda (tunggal dan jamak)) | Digunakan untuk diri orang kedua apabila berhadapan dengan kita. |
awak (tunggal) | Digunakan untuk diri orang kedua yang rapat hubungannya dengan kita. |
engkau (tunggal) | Digunakan untuk diri orang kedua yang rapat hubungannya dengan kita dan dengan Tuhan juga (Engkau) |
Tuan hamba (tunggal) | Digunakan untuk diri orang kedua pada zaman dahulu (jika kata ganti diri pertama digunakan ‘hamba’ mesti diikuti ‘tuan hamba’ sebagai kata ganti diri kedua) |
tuanku (tunggal) | Digunakan apabila bercakap dengan raja atau sultan. |
kalian (tunggal) | Digunakan untuk beberapa orang yang diajak bercakap. |
kamu (tunggal dan jamak)) | Digunakan untuk diri orang kedua yang rapat hubungannya dengan kita. |
c. Kata Ganti Nama Diri Ketiga – menggantikan nama diri orang yang diceritakan halnya (orang yang
diceritakan halnya tidak hadir)
Kata Ganti Diri Ketiga | Penggunaannya |
baginda (tunggal) | Digunakan untuk putera-puteri raja, raja atau sultan. |
beliau (tunggal) | Digunakan untuk orang yang kita hormati, misalnya ibu bapa, guru dan pemimpin. |
Dia dan ia (tunggal) | Digunakan untuk orang yang umum seperti orang biasa dan rakan. |
mereka (tunggal) | Digunakan untuk orang yang bilangannya lebih daripada seorang. |
6. Bentuk kesilapan:
SALAH | BETUL |
“Kami tidak harus mengalah sebelum perlawanan bermula,” kata Murthi kepada Azrul. | “Kita tidak harus mengalah sebelum perlawanan bermula,” kata Muthi kepada Azrul. |
Kereta itu sungguh mahal kerana ianya diimport dari Jepun. | Kereta itu sungguh mahal kerana diimport dari Jepun. |
Beliau diberkas kerana terlibat dalam kes penipuan. | Dia diberkas kerana terlibat dalam kes penipuan. |
“Hamba mohon maaf atas kesalahan hamba,” kata Paduka Ali kepada Sultan Mansor Syah. | “Patik mohon maaf atas kesalahan patik,” kata Paduka Ali kepada Sultan Mansor Syah. |
Kakitangan syarikat ini sedia menolong engkau. | Kakitangan syarikat ini sedia menolong anda. |
Saya ingin berjumpa dengan ia. | Saya ingin berjumpa dengannya. |
Mereka-mereka sedang bermain bola di padang. | Mereka sedang bermain bola di padang. |
7. Ringkasan:
Kata Ganti Nama Diri | Tunggal | Bilangan Banyak / Jamak |
Diri Pertama (penutur) | aku saya patik hamba | kami kita |
Diri Kedua (pendengar) | awak kamu engkau encik cik saudara saudari tuan puan anda tuanku tuan hamba | awak semua kamu semua saudara sekalian saudari sekalian encik-encik cik-cik tuan-tuan puan-puan anda semua kalian |
Diri Ketiga (orang yang diceritakan halnya) | Dia Ia Beliau Baginda | mereka |
Wednesday, 3 August 2011
TEKS CERITA TAHAP 1
” JOE KITAR SEMULA”
Jalan ke sini, kutip-kutip… Jalan ke sana , pungut-pungut….
Itulah gelagat dan tindak tanduk seorang anak muda tanpa rasa malu dan jemu…Kalau disebut nama Joe, kebanyakan anak muda yang berkeliaran di stesen bas di bandar Seremban kenal akan pemuda itu.
Joe Lepak atau nama sebenarnya Johari Ismail menjadi terkenal kerana hobinya yang luar biasa.
Apakah hobi Joe Lepak yang membuatkan dia menjadi terkenal di kalangan rakan-rakannya yang melepak di kawasan stesen bas itu?
Hobi Joe Lepak ialah mengumpul tiket bas. Setiap hari, dia akan mengutip tiket-tiket bas yang ditemuinya di sekitar kawasan stesen bas.
Joe Lepak tidak sedikit pun berasa malu mengutip tiket-tiket bas. Apalah yang hendak dimalukan, fikir Joe Lepak. Hobi ini tidak mengganggu orang ramai, dan sekali gus pula dapat membersihkan kawasan yang menjadi tumpuan ramai.
Bagi Joe Lepak, dia tidak peduli terhadap tanggapan orang ramai, termasuk rakan-rakannya sendiri tentang hobinya itu. Peduli apa terhadap tanggapan orang, getus Joe Lepak di dalam hati. Mereka mudah benar menghina orang-orang seperti aku, tetapi mereka tidak berusaha untuk membantu golongan kami yang melepak.
"Eh, Joe! Untuk apa kaukutip tiket-tiket bas?" tanya rakannya, Mail Tempang.
Joe Lepak tersenyum mendengar pertanyaan Mail Tempang. Dia merenung Mail Tempang dengan matanya yang bulat.
Joe Lepak tersenyum mendengar pertanyaan Mail Tempang. Dia merenung Mail Tempang dengan matanya yang bulat.
Sebenarnya sudah lama Mail Tempang mahu mengajukan pertanyaan itu kepada Joe Lepak, tetapi baru sekarang mulutnya tergerak untuk bertanya.
"Jangan kau tidak tahu pula, tiket-tiket bas yang aku kutip itu boleh menjadi duit," jelas Joe Lepak. Mail Tempang ketawa.
"Boleh jadi duit?" Mail Tempang ketawa lagi. Barangkali rakan aku ini sudah gila, fikir Mail Tempang. Setahu Mail Tempang, hanya tukang sihir sahaja yang boleh menukarkan kertas menjadi wang. Apakah Joe Lepak juga sudah menjadi tukang sihir? Fikir Mail Tempang lagi.
"Kalau kau hendak Mail, tiket-tiket bas itu adalah untuk dijual. Tiket-tiket boleh dikitar semula," jelas Joe Lepak.
"Oh, begitu..." Mail Tempang mulai faham tentang tujuan Joe Lepak mengutip tiket-tiket bas.
Mail Tempang berasa kagum terhadap Joe Lepak yang berusaha untuk mencari wang. Tidak seperti dirinya yang hanya melepak dan membuang masa di stesen bas.
"Tetapi Joe, berapa sangatlah yang kau dapat daripada hasil menjual tiket-tiket bas? Tiket-tiket bas bukannya bertimbun-timbun," kata Mail Tempang kepada Joe Lepak.
"Sebenarnya Mail, aku bukan mengutip tiket-tiket bas sahaja. Di kampung aku, aku juga mengutip tin-tin minuman, besi buruk, bahan-bahan yang diperbuat daripada aluminium, tembaga, dan lain-lain lagi," jelas Joe Lepak kepada Mail Tempang.
Mail Tempang mengangguk-nganguk kepalanya mendengar penjelasan Joe Lepak. Barulah Mail Tempang tahu, rupa-rupanya Joe Lepak sudah mencari pendapatan sendiri. Tidak sepertinya hanya tahu melepak, dan masih lagi meminta wang daripada ibu bapa.
Mail Tempang berasa malu kepada dirinya sendiri dan kepada Joe Lepak.
"Kalau kau hendak tahu..." ujar Joe Lepak lagi. "Setiap kali aku jual barang-barang yang aku kutip itu, dapatlah tiga ratus hingga empat ratus ringgit. Cukuplah untuk aku membeli keperluan aku," jelas Joe Lepak.
Mail Tempang terdiam seperti orang bodoh. Dan sememangnya Mail Tempang berasa dirinya bodoh. Selepas dia mengambil peperiksaan SPM, dia terus menggangur. Makan disuap ibu-bapa. Malas bekerja dan melepak di stesen bas pada setiap hari minggu.
Sampai bila dia mahu menyusahkan ibu-bapanya? Sampai bila dia mahu hidup di dalam dunia pengangguran dan melepak di stesen bas?
Mail Tempang dan rakan-rakan yang sejenis dengannya harus sedar, terdapat berbagai-bagai kerja yang boleh dilakukan, asalkan rajin. Untuk mendapatkan wang tidak semestinya bekerja di jabatan kerajaan atau di kilang. Bercucuk tanam, umpamanya, boleh juga menghasilkan pendapatan yang lumayan.
Seperkara lagi, Mail Tempang perlu berhenti daripada melepak di stesen bas atau di tempat-tempat lain. Itu perbuatan yang memalukan. Nampak sangat generasi muda Melayu tidak melakukan kerja-kerja yang bermanfaat. Asyik melepak dan mengganggu gadis-gadis yang melintas di depan mereka.
"Mail! Aku bercadang untuk menjadi tauke barang-barang buruk. Aku akan membuka gudang aku sendiri dengan bantuan ayahku," jelas Joe Lepak kepada Mail Tempang.
"Aku mahu mengubah nasibku," jelas Joe Lepak lagi. "Aku mahu menjadi seorang peniaga yang berjaya pada suatu masa nanti." Joe Lepak berhenti bercakap seketika. Dia merenung Mail Tempang yang sedang berdiri di depannya. Mail Tempang juga perlu menggubah nasibnya sendiri, fikir Joe Lepak.
"Mail, kau juga perlu mencari kerja. Dunia lepak ini hina dan tidak mendatangkan sebarang faedah," kata Joe Lepak kepada Mail Tempang.
"Buatlah apa sahaja kerja yang boleh mendapat duit, asalkan kerja itu halal," kata Joe Lepak lagi, menasihati Mail Tempang.
Mail Tempang menggenggam tangan Joe Lepak. Matanya digenangi air.
"Terima kasih, Joe! Kau telah menyedarkan aku daripada perbuatan yang tidak baik, tidak berfaedah," kata Mail Tempang. "Insya-Allah, aku akan mencari kerja dan tidak akan menyusahkan ibu bapa aku lagi."
"Kalau susah mendapat kerja, aku juga akan mengutip barang-barang terpakai seperti yang kaulakukan," kata Mail Tempang lagi.
Mail Tempang terus menggenggam tangan Joe Lepak. "Aku akan berdoa semoga kau akan berjaya membuka gudang membeli barang-barang buruk," kata Mail Tempang.
"Dan aku serta rakan-rakan kita yang lain tidak akan memanggil kau Joe lepak lagi, tetapi dengan gelaran Joe Kitar Semula," kata Mail Tempang lagi. Joe Lepak tersenyum mendengar kata-kata Mail Tempang itu.
Joe Lepak dan Mail Tempang melangkah perlahan-lahan meninggalkan kaki
Tuesday, 2 August 2011
LAPORAN PENYERTAAN DAN PENCAPAIAN DALAM KARNIVAL BAHASA MELAYU SEKOLAH RENDAH DAERAH SEREMBAN 2 TAHUN 2011
Pada setiap tahun, Pejabat Pelajaran Daerah Seremban, Negeri Sembilan menganjurkan karnival Pertandingan Bahasa Melayu (BM) yang melibatkan sekolah-sekolah rendah zon Seremban 1 dan Seremban 2. Jawatankuasa Panitia Bahasa Malaysia SK Datuk Akhir Zaman bertanggungjawab menguruskan penglibatan peserta sekolah ini dalam karnival tersebut. Antara pertandingan yang dianjurkan ialah Pertandingan Bercerita BM, Pertandingan Mengarang BM dan Pertandingan Bahas BM.
Pada 23 Mac 2011, Pertandingan Bercerita Bahasa Melayu Seremban 2 bagi Tahap 1 telah diadakan di SK Taman Tasik Jaya. Peserta sekolah, Nur Iwanina Izzati bt. Hj. Ruhaizard telah menyampaikan cerita yang penuh dengan unsur moral bertajuk ‘Johari Kitar Semula’. Manakala, Nur Effa Narisha bt. Amran mewakili sekolah bagi Tahap 2 telah menyampaikan cerita yang bertajuk ‘Esok Masih Ada Sinar’ di SK Dato’ Raja Melana, Rantau. Bagaimanapun, nasib tidak menyebelahi mereka biarpun usaha keras telah dijalankan.
Pertandingan Mengarang BM pula telah dijalankan pada 24 Mac 2011 jam 2 petang di SK Taman Tuanku Jaafar. Nur Kamalia Fadhilah bt. Ridzuan (Tahap 1) dan Siti Nurasyikin bt. Dzulkefli (Tahap 2) merupakan peserta-peserta yang mewakili SK Datuk Akhir Zaman dalam pertandingan tersebut. Kejayaan besar telah dicapai oleh Siti Nurasyikin apabila menjadi johan dalam pertandingan tersebut. Biarpun tiada kemenangan buat peserta Tahap 1, penyertaan dalam pertandingan ini memberi pengalaman berharga buatnya.
Kejayaan Siti Nurasyikin dalam Pertandingan Mengarang BM Tahap 2 peringkat Seremban 2 telah melayakkannya menyertai Pertandingan Mengarang BM Pertandingan Peringkat Negeri telah dijalankan pada 25 Jun 2011 di SK Si Rusa, Port Dickson.
Seterusnya, penyertaan dua orang peserta sekolah dalam Pertandingan Puisi Karnival Sempena Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia yang dianjurkan bersama Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Sembilan dan PPD Seremban pada 23 April 2011 yang lalu sekali lagi meraih kejayaan yang membanggakan. Nurul Syazwani bt. Mohd Fazlee telah berjaya memenangi tempat ke-2 manakala Nur Effa Narisha bt. Amran telah berjaya memenangi tempat ke-3 dalam Pertandingan Mendeklamasi Sajak yang dianjurkan. Sajak-sajak yang disampaikan adalah bertemakan buku.
Semoga pengalaman dan pencapaian yang diperoleh melalui pertandingan-pertandingan seperti ini dapat memberi kesan positif kepada murid-murid SK Datuk Akhir Zaman keseluruhannya.
Sekian, terima kasih.
Disediakan oleh, 30 APRIL 2011
Azidah Mohd Ali
(PN. AZIDAH BT. MOHD ALI)
Ketua Panitia Bahasa Malaysia,
Sk Datuk Akhir Zaman,
71200 Rantau,
Negeri Sembilan.
Monday, 1 August 2011
Teks Cerita 2 - Pertandingan Bercerita BM
SKRIP CERITA TAHAP 2
”SANG KANCIL DENGAN TALI PINGGANG SAKTI”
”Ha....ha...ha......, nampaknya hari ini engkau akan menjadi makanan aku Sang Kancil, ha...ha....ha......”, ketawa Sang Harimau.
”Wahai Sang Harimau, janganlah makan aku, lepaskanlah aku, kasihanilah aku Sang Harimau ” rayu Sang Kancil.
Ha, kawan-kawan hendak tahu apa kesudahan ceritanya?
Dengarlah cerita saya pada hari ini yang bertajuk ”Sang Kancil dengan Tali Pinggang Sakti”.
Assalamualaikum Warahmatullah Hiwabarakatuh dan Salam Sejahtera kepada barisan Hakim yang arif lagi bijaksana, guru-guru dan rakan-rakan sekalian.
Di dalam sebuah rimba, tinggal seekor Sang Kancil yang cerdik lagi bijaksana.
Pada suatu hari, Sang kancil keluar mencari makanannya, tiba-tiba dia ternampak Sang Ular yang besar sedang tidur nyenyak di bawah sebatang pokok.
”Aku harus berhati-hati dengan Sang Ular itu, jikalau ia terjaga habislah aku dimakannya nanti”, bisik Sang Kancil di dalam hatinya. Tanpa membuang masa Sang Kancil pun beredar dari tempat itu.
Kemudian, Sang Kancil meneruskan perjalanannya untuk mencari makanan,
tiba-tiba kedengaran bunyi riuh-rendah suara binatang-binatang di dalam hutan itu.
” Lari.... lari......... lari Sang Kancil, Sang Harimau hendak makan kita”, jerit Sang Arnab dan Sang Monyet sambil berlari lintang pukang. Belum sempat Sang Kancil melarikan diri, tiba-tiba Sang Harimau terus menerkam ke arah Sang Kancil. Sang Kancil mengigil dan menangis ketakutan.
”Ha....ha...ha......, nampaknya hari ini engkau akan menjadi makanan aku Sang Kancil, ha...ha....ha......”, ketawa Sang Harimau.
”Wahai Sang Harimau, janganlah makan aku, lepaskanlah aku, kasihanilah aku Sang Harimau ” rayu Sang Kancil.
Sang Kancil mencari akal untuk melepaskan dirinya dan dia teringat akan Sang Ular yang sedang tidur nyenyak di bawah sebatang pokok.
”Wahai Sang Harimau, aku mempunyai sebuah tali pinggang sakti yang ku simpan di bawah sebatang pokok, jika engkau memakainya sudah tentu semua binatang akan tunduk dan hormat pada engkau”, kata Sang Kancil.
”Apa... tali pinggang sakti?! Di manakah tali pinggang sakti itu?!” tanya Sang Harimau.
”Tali pinggang sakti itu ada ku simpan di bawah sebatang pokok tetapi engkau mestilah melepaskan aku dahulu”, kata Sang Kancil.
”Baiklah Sang Kancil, aku lepaskan engkau, tapi ingat!! Kalau kau tipu aku siaplah engkau!!, herdik Sang Harimau.
Sang Kancil pun membawa Sang Harimau ke tempat Sang Ular yang sedang tidur nyenyak tadi.
” Ha..itulah tali pinggang yang ku katakan tadi”, bisik Sang Kancil kepada Sang Harimau.
Tanpa membuang masa, Sang Harimau pun terus memegang badan Sang Ular yang sedang tidur nyenyak tadi dan melilitkan badan Sang Ular itu ke pinggangnya.
”Wah, hebat sungguh tali pinggang sakti ini! Ha..ha...sekarang akulah raja di rimba ini, semua binatang akan takut kepada aku, ha....ha.....ha.....”, ketawa Sang Harimau.
Sang Ular yang sedang tidur nyenyak pun terjaga apabila terdengar suara Sang Harimau itu tadi. Apalagi Sang Ular berasa sangat marah lalu terus membelit pinggang Sang Harimau dengan kuat.
Sang Harimau pun menjerit memnita tolong. ” Tolong.... tolong.... tolong.... Sang Harimau meronta-ronta untuk melepaskan dirinya.
”Cis, berani engkau menipu aku Sang Kancil, siaplah engkau”, marah Sang Harimau.
Akhirnya, Sang Harimau pun mati dibelit oleh Sang Ular. Selamatlah Sang Kancil daripada dimakan oleh Sang Harimau.
Semua haiwan yang tinggal di dalam rimba itu mengucapkan terima kasih kepada Sang Kancil kerana telah menyelamatkan nyawa mereka.
....Selesailah sudah... Kisah Sang Kancil... Yang Sangat cerdik lagi bijaksana…berjaya menumpas musuh yang ganas…Hidupan hutan… Aman dan gembira….
Hai kawan-kawan,
Dari cerita yang saya sampaikan tadi, dapatlah kita semua teladan bahawa setiap masalah yang kita hadapi pasti ada penyelesaian, jika kita menggunakan akal seperti Sang Kancil tadi.
Sekian, terima kasih.
Disediakan oleh,
PN. AZIDAH BT. MOHD ALI
Pengerusi Panitia Bahasa Malaysia
Subscribe to:
Posts (Atom)