Pages

Wednesday 24 August 2011

SEKADAR RENUNGAN.....

Hayatilah kisah ini.....

Seorang anak mengeluh pada ayahnya mengenai kehidupannya dan menanyakan mengapa hidup ini terasa begitu sukar dan menyakitkan baginya. Ia tidak tahu bagaimana menghadapinya dan hampir menyerah kalah dalam kehdupan. Ia sudah letih untuk berjuang. Sepertinya setiap kali satu masalah selesai, timbul masalah baru.

Ayahnya, seorang tukang masak, membawanya ke dapur. Ia mengisi tiga periuk dengan air dan meletakkannya di atas api. Setelah air di ketiga-tiga periuk2 tersebut mendidih. Ia meletakkan lobak merah di dalam periuk pertama, telur di periuk kedua dan ia menaruh serbuk kopi di periuk terakhir. Ia membiarkannya mendidih tanpa berkata-kata. Si anak tertanya-tanya dan menunggu dengan tidak sabar, memikirkan apa yang sedang dikerjakan oleh ayahnya.

Setelah dua puluh minit, si ayah mematikan api. Ia menyisihkan lobak dan menaruhnya dimangkuk, mengangkat telur dan meletakkannya di mangkuk yang lain, dan menuangkan kopi di mangkuk lainnya. Lalu ia bertanya kepada anaknya, "Apa yang kau lihat, nak?" "Lobak, telur, dan kopi" jawab si anak.

Ayahnya mengajaknya mendekati mangkuk dan memintanya merasakan lobak itu. Ia melakukannya dan merasakan bahawa lobak itu terasa enak. Ayahnya lalu memintanya mengambil telur dan memecahkannya. Setelah membuang kulitnya, ia mendapati sebuah telur rebus yang mengeras. Terakhir, ayahnya memintanya untuk mencicipi kopi. Ia tersenyum ketika mencicipi kopi dengan aromanya yang khas.

Setelah itu, si anak bertanya, "Apa erti semua ini, Ayah?" Ayahnya menerangkan bahawa ketiganya telah menghadapi kesulitan yang sama, perebusan, tetapi masing-masing menunjukkan reaksi yang berbeda. Lobak sebelum direbus kuat, keras dan sukar dipatahkan. Tetapi setelah direbus, lobak menjadi lembut dan lunak. Telur sebelumnya mudah pecah. Cangkerang tipisnya melindungi isinya yang berupa cairan. Tetapi setelah direbus, isinya menjadi keras. Serbuk kopi mengalami perubahan yang unik. Setelah berada di dalam rebusan air, serbuk kopi merubah air tersebut.

"Kamu termasuk yang mana?," tanya ayahnya. "Air panas yang mendidih itu umpama kesukaran dan dugaan yang bakal kamu lalui...Ketika kesukaran dan kesulitan mendatangimu, bagaimana kau menghadapinya? Apakah kamu lobak, telur atau kopi?"

Bagaimana dengan anda?

Apakah anda adalah lobak yang kelihatannya keras, tapi dengan adanya penderitaan dan kesulitan, kamu menyerah, menjadi lembut dan kehilangan kekuatanmu.

Atau... Apakah kamu adalah telur, yang awalnya memiliki hati lembut, dengan jiwa yang dinamis? Namun setelah adanya kematian, patah hati, perceraian atau kegagalan menjadi keras dan kaku. Dari luar kelihatan sama, tetapi apakah kamu menjadi pahit dan keras dengan jiwa dan hati yang kaku?

Ataukah kamu adalah serbuk kopi? Serbuk kopi merubah air panas, sesuatu yang menimbulkan kesakitan, untuk mencapai rasanya yang maksimum pada suhu 100 darjah Celcius. Ketika air mencapai suhu terpanas, kopi terasa semakin nikmat. Jika kamu seperti serbuk kopi, ketika keadaan menjadi semakin buruk, kamu akan menjadi semakin baik dan membuat keadaan di sekitarmu juga menjadi semakin baik.


Sumber: http://www.familiazam.com/lobak_telur_kopi.htm


 



PANTUN TEKA - TEKI...............

Buah budi bedara mengkal
Masak sebiji di tepi pantai
Hilang budi bicara akal
Buah apa tidak bertangkai?

Kelip-kelip kusangka api
Kalau api mana asapnya
Hilang ghaib disangkakan mati
Kalau mati mana kuburnya?

Budak-budak bermain batu
Batu dikira satu persatu
Badannya lurus bermata satu
Ekornya tajam apakah itu?

Belayar perahu dari Bentan
Menyusur tepi Selat Melaka
Lebar kepala dari badan
Apakah ikan cubalah teka?

Mak Minah menanak minyak
Kemenyan dibakar dengan setanggi
Dua peha beranak banyak
Untuk mendaki tempat yang tinggi?

Orang bekerja diberikan upah
Hidangan disaji dalam talam
Gajah putih ditengah rumah
Layar terkembang di waktu malam?

Gigi berduri tatah bersigai
Pembelah kayu ia berguna
Jika tuan orang yang pandai
Benda apakah makannya dua cara?

Kalau tuan pakai lencana
Pakailah songkok di atas kepala
Kalau Tuan bijak laksana
Binatang apakah tiada kepala?

Minah ketawa terjerit-jerit
Melihat koyak pada seluar
Orang putih duduk sederet
Pagar didalam tebing diluar?

Tuan puteri belajar menari
Tari diajar oleh Pak Harun
Kalau Tuan bijak bestari
Apa yang naik tak pernah turun?

Cubalah cari jawapannya……apa yeee???

Tuesday 23 August 2011

NEGARAKU TERBILANG

Tatkala aku menggagahi diri membelah kotaraya,
Aku mendongak melihat tiang-tiang seri mencecah awan,
Rasa bangga bangsa menyala-nyala di dada,
jauh sudah rupanya negaraku mengembara.


Fikiran menggugah zaman remajaku,
Zaman tiada gerbang, tiada simbol pencakar langit,
Yang ada hanya siulan burung di bendang,
Tapi disana kaya kemanusiaan,
Kaya keampunan dan kasih sayang,
Kaya tangan menghulur bantuan,
Di tengah ribuan wira tak didendang.


Di luar sempadan ada cabaran,
Dunia semakin deras bergelora,
Tidak terperangkap kite dengan kata-kata,
Yang cepat mendapat habuan luar biasa,
Yang lambat mendapat sisa-sisa,
Kita memilih sederhana daripada yang mutlak,
Pelbagai daripada yang menyendiri,
Percaya daripada mencurigai,
Bersama daripada menguasai,
Ke hadapan dengan acuan kita sendiri,
Yang diwarisi tidak berkurang,
Yang dijaga tidak susut.


Di sini di bumi ini,
Kita sulam pencakar langit dengan jernih susu kemanusiaan,
Anyamkan cita-cita Alfred Nobel dengan puisi Jalaludin Rumi
Bajai kembang kemboja keamanan pada kubur rakusnya perang,
Tiupkan serunai budaya cinta merentas sempadan,
Sambil memacak panji-panji di puncak khairuummah
Cemerlang, gemilang dan terbilang.


Oleh: DATUK SERI ABDULLAH AHMAD BADAWI


KETAATAN DAN KEBERANIAN

Berjanjilah kami demi keberanian
melalui suara-suara hijaz
putaran kemerdekaan
menyusur sungai-sungai mati
kepada insan seikat masyarakat
yang telah bebas.

Dalam sejarah kepahitanmu
terselit larian aku anak kecil
dibentuk dalam kelas-kelas rendah
hingga ke kamar dewasa
jiwa ini digantung loceng mongel
lalu direntap-rentap
terbawa-bawa.

Titisan darah ibuku
pada papan cendana pejal
masih melekat di situ
di perigi yang telah terkambus
hanyir masih terbau
tembuni dalam diam berubah fosil
atas tanah yang merdeka.

Seperti selalu
berlarilah kami dengan sebuah bendera kecil
menyamai pemberian hadiah bapamu
kami menyebut MERDEKA!!!
MERDEKA!!! MERDEKA!!!!

NAFISA
Marang, Terengganu

31 OGOS TIBA LAGI

Setiap kali tibamu Ogos
mengerling monumen yang lusuh dan tugu berdarah
dalam matang akal fikir
semangat dan kudrat masih berbaki
merisik khabar pejuang yang jauh
dalam lipatan darmawisata merdeka
mahalnya nostalgia.

Manis dan comelmu Ogos ini tiba jua
menyentak lolong makrifat membiak musim
ceriteranya berderai plotnya berkecai
mengirai skrip duga yang tak sudah
atas aspal fatamorgana bumi bertuah.
Ogos yang sujud di kaki merdeka
tanggal tiga puluh satumu tidak pernah hilang
tetap menyimpul senyum
meskipun termateri kenangan pahit
yang mahal dan cantik.

Hari ini mentari 31 Ogos memancar lagi
bersama gemersik angin di bumi bertuah
mendewasakan ukhuwah dan ummah
siap siaga warga berdaulat memahat sejarah
dalam tamadun bangsa yang gah.
Terima kasih pejuang tanah merdeka
terima kasih aduhai tanah airku Malaysia!

WAN ZAHARI WAN ALI,
SMK Saujana, Setiu, Terengganu.

Monday 22 August 2011

DI PENTAS KEBEBASAN



 
Kamu membakar hutan bandar
kedai dan kereta disambar api kemarahan
semarak darah generasi abad 21
siapa yang ditentang juga jelas
menegakkan keadilan dengan tangan kasar
meja rundingan pun turut dibakar.

Seorang tua termanggu melihat kejadian
peristiwa yang tidak terlintas di fikiran
apakah yang dicari wahai anak muda?
Aku yang membina tiang kemerdekaan
kau bersorak bangga mematahkan.

Aku yang mengecat tugu sejarah
putih bersih sedap mata memandang
kau conteng dengan niat hitam.

Jari terketar tak mampu menampar
tangannya letih hendak menangani
mereka yang bingung di pentas kebebasan
tercari-cari nama negeri bumi yang dipijak
sedangkan ladang sudah dibajak
benih sudah dipilih untuk disemai.

Orang tua itu berbisik sedih
aku membina kamu meruntuhkan.

Hasil Nukilan,
KHADIJAH HASHIM
Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur





Monday 15 August 2011

TATABAHASA - Modul 3

MODUL 3 : KATA BILANGAN

1.          Maksud:
Kata bilangan ialah kata yang digunakan untuk menghitung sesuatu frasa nama : orang, binatang, benda atau perkara.

2.         Contoh Kata bilangan
           
Jenis Kata Bilangan
Contohnya
Kata bilangan tentu
1. Menunjukkan bilangan yang tertentu.
2. Boleh diikuti oleh penjodoh bilangan
Satu, dua, tiga, dan seterusnya
Contoh ayat: Dua ekor kambing.
Kata bilangan tak tentu. (Menunjukkan bilangan yang tidak tentu)
Beberapa, segala, seluruh, sekalian, setengah-setengah, dan sebagainya.
Contoh ayat: Segala maklumat akan dikumpulkan.
Kata bilangan pecahan.
(Menunjukkan bilangan berbentuk pecahan)
Suku, setengah, separuh, tiga suku, dan sebagainya.
Contoh ayat: Hanya sepertiga ibu bapa murid tahun enam yang hadir ke majlis itu.
Kata bilangan pisahan.
(Menunjukkan bilangan yang berpisah)
Setiap, tiap-tiap.
Contoh ayat: Setiap orang dikehendaki membayar yuran sekolah dengan segera.
Kata bilangan himpunan.
(Menunjukkan sesuatu bilangan secara himpunan)
Kedua-dua, ketiga-tiga, berpuluh-puluh, berminggu-minggu, berbulan-bulan, dan sebagainya.
Contoh ayat: Kebun Pak Abu menghasilkan berpuluh-puluh bakul durian setiap tahun.
Kata bilangan tingkat.
(Menunjukkan giliran atau urutan dalam sesuatu jumlah)
Pertama, kedua, ketiga, dan seterusnya.
Contoh ayat: Abu mendapat tempat ketiga sahaja dalam peraduan lukisan.

3.         Kesilapan kata bilangan:
            

            a.  Tidak meletakkan penjodoh bilangan pada kata nama konkrit yang dibilang menggunakan
kata bilangan tentu.

SALAH
BETUL
Tiga motosikal itu berjenama Honda.
Tiga buah motosikal itu berjenama Honda.
Dua ribu telur ayam telah direbus untuk majlis kenduri.
Dua ribu biji telur ayam telah direbus untuk majlis kenduri.
Seratus calon telah menghadiri seminar UPSR.
Seratus orang calon telah menghadiri seminar UPSR.


b.  Menggandakan kata nama konkrit yang dibilang dengan kata bilangan tentu yang membawa maksud jamak (banyak).

SALAH
BETUL
Tiga puluh meja-meja di dalam bilik darjah kami telah rosak.
Tiga puluh meja di dalam bilik darjah kami telah rosak.
Empat pekerja-pekerja kilang terbunuh dalam kemalangan jalan raya.
Empat pekerja kilang terbunuh dalam kemalangan jalan raya.
Lapan ratus pelancong-pelancong asing diraikan dalam majlis yang gilang-gemilang.
Lapan ratus pelancong asing diraikan dalam majlis yang gilang-gemilang.


c. Menggunakan penjodoh bilangan bagi kata nama konkrit yang dibilang dengan kata bilangan
tak tentu kecuali kata bilangan tak serupa – beberapa.

SALAH
BETUL
Amran membeli beberapa buku cerita.
Amran membeli beberapa buah buku cerita.
(Tatabahasa Dewan m.s 197)
Para orang peniaga di pasar malam diseru agar mengutamakan kebersihan.
Para peniaga di pasar malam diseru agar mengutamakan kebersihan.
Sesetengah buah bas persiaran beroperasi secara haram.
Sesetengah bas persiaran beroperasi secara haram.



d.  Menggandakan kata nama konkrit yang dibilang dengan kata bilangan tak tentu.

SALAH
BETUL
Kebanyakan guru-guru hadir dalam mesyuarat kurikulum sekolah.
Kebanyakan guru hadir dalam mesyuarat kurikulum sekolah.
Semua surat-surat  telah dihantar kepada para tetamu.
Semua surat  telah dihantar kepada para tetamu.
Sebahagian daripada pekerja-pekerja warga asing masuk ke negara ini secara haram.
Sebahagian daripada pekerja warga asing masuk ke negara ini secara haram.



e.  Menggunakan kata singkatan kata bilangan himpunan dalam ayat.

SALAH
BETUL
Kedua buah pulau di negara ini mempunyai batu karang yang paling cantik di dunia.
Kedua-dua buah pulau di negara ini mempunyai batu karang yang paling cantik di dunia.
Antara kedua tugas, yang manakah lebih mudah?
Antara kedua-dua tugas, yang manakah lebih mudah?
Berbagai isu-isu dibincangkan dalam mesyuarat Persatuan Ibu dan Bapa.
Berbagai-bagai isu dibincangkan dalam mesyuarat Persatuan Ibu dan Bapa.



f.  Tidak meletakkan penjodoh bilangan pada kata nama konkrit yang dibilang dengan kata bilangan himpunan.

SALAH
BETUL
Ketiga-tiga anak Pak Halim menuntut di luar negara.
Ketiga-tiga orang anak Pak Halim menuntut di luar negara.
Beratus-ratus sate dihidangkan untuk pelancong dari Jepun.
Beratus-ratus cucuk sate dihidangkan untuk pelancong dari Jepun.
Beribu-ribu cakera padat tiruan dirampas dalam operasi pihak berkuasa.
Beribu-ribu keping cakera padat tiruan dirampas dalam operasi pihak berkuasa.



g.  Penggunaan kata bilangan tak tentu yang sudah membawa maksud jamak.

SALAH
BETUL
Para-para petugas di pameran buku sedia memberikan bantuan kepada pengunjung.
Para-para petugas di pameran buku sedia memberikan bantuan kepada pengunjung.

*Para tidak seharusnya digunakan untuk merujuk kepada golongan yang tidak dihormati seperti penjahat, pengganas, pengemis, penagih dan penipu.



h.  Tidak menggunakan kata bilangan himpunan yang betul.

SALAH
BETUL
Berbagai acara diadakan dalam karnival jualan murah.
Berbagai-bagai acara diadakan dalam karnival jualan murah.
Tiap pelanggan yang berkunjung ke restoran itu pasti berpuas hati dengan layanan mesra pekerjanya.
Tiap-tiap pelanggan yang berkunjung ke restoran itu pasti berpuas hati dengan layanan mesra pekerjanya.



i.    Penjodoh bilangan tidak perlu digunakan  untuk menghitung sesuatu kata nama ukuran, kata nama waktu dan kata nama abstrak yang tertentu.
Peringatan: Kata nama konkrit yang membawa maksud orang seperti mayat tidak perlu didahului oleh penjodoh bilangan.

SALAH
BETUL
Peserta pertandingan pidato diberi masa lima buah minit sahaja.
Peserta pertandingan pidato diberi masa lima minit sahaja.
Beberapa buah bahagian rumah pangsa itu telah retak.
Beberapa  bahagian rumah pangsa itu telah retak.
Tiga orang mayat mangsa lemas dijumpai terdampar di pantai.
Tiga  mayat mangsa lemas dijumpai terdampar di pantai.
           

            j.   Kata bilangan tentu tidak boleh didekatkan dengan kata bilangan.
           
SALAH
BETUL
Harga daging itu lapan setengah ringgit sahaja.
Harga daging itu lapan ringgit setengah sahaja.
Saya menunggu awak sudah dua setengah jam.
Saya menunggu awak sudah dua  jam setengah.