Monday, 22 August 2011

DI PENTAS KEBEBASAN



 
Kamu membakar hutan bandar
kedai dan kereta disambar api kemarahan
semarak darah generasi abad 21
siapa yang ditentang juga jelas
menegakkan keadilan dengan tangan kasar
meja rundingan pun turut dibakar.

Seorang tua termanggu melihat kejadian
peristiwa yang tidak terlintas di fikiran
apakah yang dicari wahai anak muda?
Aku yang membina tiang kemerdekaan
kau bersorak bangga mematahkan.

Aku yang mengecat tugu sejarah
putih bersih sedap mata memandang
kau conteng dengan niat hitam.

Jari terketar tak mampu menampar
tangannya letih hendak menangani
mereka yang bingung di pentas kebebasan
tercari-cari nama negeri bumi yang dipijak
sedangkan ladang sudah dibajak
benih sudah dipilih untuk disemai.

Orang tua itu berbisik sedih
aku membina kamu meruntuhkan.

Hasil Nukilan,
KHADIJAH HASHIM
Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur





No comments:

Post a Comment