Pages

Wednesday 3 August 2011

TEKS CERITA TAHAP 1

” JOE KITAR SEMULA”
Jalan ke sini, kutip-kutip… Jalan ke sana, pungut-pungut….
Itulah gelagat dan tindak tanduk seorang anak muda tanpa rasa malu dan jemu…Kalau disebut nama Joe, kebanyakan anak muda yang berkeliaran di stesen bas di bandar Seremban kenal akan pemuda itu.

      Joe Lepak atau nama sebenarnya Johari Ismail menjadi terkenal kerana hobinya yang luar biasa.


      Apakah hobi Joe Lepak yang membuatkan dia menjadi terkenal di   kalangan rakan-rakannya yang melepak di kawasan stesen bas itu?


      Hobi Joe Lepak ialah mengumpul tiket bas. Setiap hari, dia akan mengutip tiket-tiket bas yang ditemuinya di sekitar kawasan stesen bas.

      Joe Lepak tidak sedikit pun berasa malu mengutip tiket-tiket bas. Apalah yang hendak dimalukan, fikir Joe Lepak. Hobi ini tidak mengganggu orang ramai, dan sekali gus pula dapat membersihkan kawasan yang menjadi tumpuan ramai.


      Bagi Joe Lepak, dia tidak peduli terhadap tanggapan orang ramai, termasuk rakan-rakannya sendiri tentang hobinya itu. Peduli apa terhadap tanggapan orang, getus Joe Lepak di dalam hati. Mereka mudah benar menghina orang-orang seperti aku, tetapi mereka tidak berusaha untuk membantu golongan kami yang melepak.


  "Eh, Joe! Untuk apa kaukutip tiket-tiket bas?" tanya rakannya, Mail Tempang.
Joe Lepak tersenyum mendengar pertanyaan Mail Tempang. Dia merenung Mail Tempang dengan matanya yang bulat.

      Sebenarnya sudah lama Mail Tempang mahu mengajukan pertanyaan itu kepada Joe Lepak, tetapi baru sekarang mulutnya tergerak untuk bertanya.
"Jangan kau tidak tahu pula, tiket-tiket bas yang aku kutip itu boleh menjadi duit," jelas Joe Lepak. Mail Tempang ketawa.


"Boleh jadi duit?" Mail Tempang ketawa lagi. Barangkali rakan aku ini sudah gila, fikir Mail Tempang. Setahu Mail Tempang, hanya tukang sihir sahaja yang boleh menukarkan kertas menjadi wang. Apakah Joe Lepak juga sudah menjadi tukang sihir? Fikir Mail Tempang lagi.

      "Kalau kau hendak Mail, tiket-tiket bas itu adalah untuk dijual. Tiket-tiket boleh dikitar semula," jelas Joe Lepak.


   "Oh, begitu..." Mail Tempang mulai faham tentang tujuan Joe Lepak mengutip tiket-tiket bas.

      Mail Tempang berasa kagum terhadap Joe Lepak yang berusaha untuk mencari wang. Tidak seperti dirinya yang hanya melepak dan membuang masa di stesen bas.


      "Tetapi Joe, berapa sangatlah yang kau dapat daripada hasil menjual tiket-tiket bas? Tiket-tiket bas bukannya bertimbun-timbun," kata Mail Tempang kepada Joe Lepak.


      "Sebenarnya Mail, aku bukan mengutip tiket-tiket bas sahaja. Di kampung aku, aku juga mengutip tin-tin minuman, besi buruk, bahan-bahan yang diperbuat daripada aluminium, tembaga, dan lain-lain lagi," jelas Joe Lepak kepada Mail Tempang.


      Mail Tempang mengangguk-nganguk kepalanya mendengar penjelasan Joe Lepak. Barulah Mail Tempang tahu, rupa-rupanya Joe Lepak sudah mencari pendapatan sendiri. Tidak sepertinya hanya tahu melepak, dan masih lagi meminta wang daripada ibu bapa.


      Mail Tempang berasa malu kepada dirinya sendiri dan kepada Joe Lepak.

      "Kalau kau hendak tahu..." ujar Joe Lepak lagi. "Setiap kali aku jual barang-barang yang aku kutip itu, dapatlah tiga ratus hingga empat ratus ringgit. Cukuplah untuk aku membeli keperluan aku," jelas Joe Lepak.


      Mail Tempang terdiam seperti orang bodoh. Dan sememangnya Mail Tempang berasa dirinya bodoh. Selepas dia mengambil peperiksaan SPM, dia terus menggangur. Makan disuap ibu-bapa. Malas bekerja dan melepak di stesen bas pada setiap hari minggu.


      Sampai bila dia mahu menyusahkan ibu-bapanya? Sampai bila dia mahu hidup di dalam dunia pengangguran dan melepak di stesen bas?


      Mail Tempang dan rakan-rakan yang sejenis dengannya harus sedar, terdapat berbagai-bagai kerja yang boleh dilakukan, asalkan rajin. Untuk mendapatkan wang tidak semestinya bekerja di jabatan kerajaan atau di kilang. Bercucuk tanam, umpamanya, boleh juga menghasilkan pendapatan yang lumayan.


Seperkara lagi, Mail Tempang perlu berhenti daripada melepak di stesen bas atau di tempat-tempat lain. Itu perbuatan yang memalukan. Nampak sangat generasi muda Melayu tidak melakukan kerja-kerja yang bermanfaat. Asyik melepak dan mengganggu gadis-gadis yang melintas di depan mereka.

"Mail! Aku bercadang untuk menjadi tauke barang-barang buruk. Aku akan membuka gudang aku sendiri dengan bantuan ayahku," jelas Joe Lepak kepada Mail Tempang.

      "Aku mahu mengubah nasibku," jelas Joe Lepak lagi. "Aku mahu menjadi seorang peniaga yang berjaya pada suatu masa nanti."  Joe Lepak berhenti bercakap seketika. Dia merenung Mail Tempang yang sedang berdiri di depannya. Mail Tempang juga perlu menggubah nasibnya sendiri, fikir Joe Lepak.


      "Mail, kau juga perlu mencari kerja. Dunia lepak ini hina dan tidak mendatangkan sebarang faedah," kata Joe Lepak kepada Mail Tempang.


      "Buatlah apa sahaja kerja yang boleh mendapat duit, asalkan kerja itu halal," kata Joe Lepak lagi, menasihati Mail Tempang.


      Mail Tempang menggenggam tangan Joe Lepak. Matanya digenangi air.
"Terima kasih, Joe! Kau telah menyedarkan aku daripada perbuatan yang tidak baik, tidak berfaedah," kata Mail Tempang. "Insya-Allah, aku akan mencari kerja dan tidak akan menyusahkan ibu bapa aku lagi."


   "Kalau susah mendapat kerja, aku juga akan mengutip barang-barang terpakai seperti yang kaulakukan," kata Mail Tempang lagi.

      Mail Tempang terus menggenggam tangan Joe Lepak. "Aku akan berdoa semoga kau akan berjaya membuka gudang membeli barang-barang buruk," kata Mail Tempang.


      "Dan aku serta rakan-rakan kita yang lain tidak akan memanggil kau Joe lepak lagi, tetapi dengan gelaran Joe Kitar Semula," kata Mail Tempang lagi. Joe Lepak tersenyum mendengar kata-kata Mail Tempang itu.


      Joe Lepak dan Mail Tempang melangkah perlahan-lahan meninggalkan kaki lima kedai, di kawasan stesen bas.
Mereka berdua telah mendapat petunjuk yang baik untuk mengubah nasib masing-masing.

No comments:

Post a Comment